Renew Car Insurance

Assalamualaikum, Terima kasih kerana sudi mengunjungi blok kami. Ary Lane adalah agen Takaful Ikhlas. Hubungi kami untuk perbaharui Insuran kenderaan anda di talian 0132712272 call/sms/whatsapp. TIADA bayaran tambahan. Anda hanya perlu membayar nilai insuran sahaja. Walau dimana anda berada, jarak bukan penghalang untuk kami memberikan khidmat kami. Hanya whasappkan gambar cover note dan geran ke nombor yang tertera. Kualiti perkhidmatan kami dijamin 100%.


Tuntutan Insuran Kenderaan

            Apa itu tuntutan insurans? Tuntutan insurans merupakan satu permintaan rasmi kepada syarikat insurans untuk membayar sejumlah wang berdasarkan insurans polisi sebagai ganti rugi terhadap apa-apa yang berlaku pada kenderaan anda seperti kemalangan atau kehilangan.
            Terdapat banyak syarikat insurans seperti yang kita ketahui, contohnya Kurnia Insurans, MAA Assurance, Pacific & Orient, Takaful Ikhlas, Takaful Malaysia, Great Eastern, Berjaya dan lain-lain lagi yang terdapat di Malaysia. Kebanyakan kita tahu kenderaan yang kita miliki diinsuranskan oleh siapa tetapi adakah kita tahu bagaimana untuk membuat tuntutan insurans apabila kejadian yang tidak diingini berlaku? Dalam artikel ini akan diceritakan serba sedikit tentang bagaimana untuk kita membuat tuntutan kepada syarikat insurans dan bagaimana untuk tuntutan kita berjalan lancar tanpa sebarang masalah kelak. Apa yang ditulis ini adalah berdasarkan dari pengalaman saya sebagai “Claim Officer” di salah sebuah syarikat kredit di Malaysia.
1- TUNTUTAN KEHILANGAN KENDERAAN
            Ramai dikalangan rakyat negara ini menghadapi masalah kehilangan motorsikal mahupun kereta. Setiap hari boleh dikatakan pasti ada berlaku kes kecurian kenderaan. Bagaimana atau dimana kes kecurian sering berlaku tidak penting tetapi apabila ia berlaku pada kita,apa yang kita perlu buat? Kebanyakan orang yang datang pada saya tidak tahu bagaimana prosedur untuk membuat tuntutan insurans sedangkan amat penting untuk tahu kerana bayaran ganti rugi yang di bayar sedikit sebanyak dapat membantu untuk meringankan beban bayaran baki hutang (jika kenderaan masih mempunyai hutang).
            Perkara pertama yang perlu dilakukan jika berlaku kehilangan adalah melaporkan pada pihak polis.Perkara penting yang saya ingin tekankan di sini adalah sesiapa yang melaporkan itu mesti mempunyai lesen memandu yang sah bagi kelas kenderaan yang terlibat. Apa rasionalnya orang yang melaporkan mesti ada lesen yang sah? Ini kerana orang yang melaporkan itu akan di anggap sebagai pemandu. Seseorang yang memandu tanpa lesen adalah salah di sisi undang-undang dan ini menjadi alasan kukuh bagi pihak insurans untuk menolak tuntutan anda.
            Perkara kedua selepas melaporkan pada pihak polis adalah dapatkan salinan pendaftaran kenderaan atau geran serta salinan polisi insurans atau “insurance cover note” dari syarikat kredit anda atau kedai motosikal (jika anda tidak menyimpan salinan).
            Selepas itu, anda harus melaporkan pada pihak insurans pula. Anda perlu dapatkan borang tuntutan atau “claim form” dari syarikat insurans. Borang itu hendaklah diisi dan ditandatangani oleh pemilik DAN pelapor. Selesai mengisi borang, serah semula kepada pegawai bertugas dan dengan itu selesai peringkat pertama dalam urusan tuntutan insurans anda.
            Pada peringkat kedua, adjuster dari pihak insurans akan menghubungi anda untuk sedikit temuduga untuk dapatkan testimoni lisan selain testimoni bertulis (repot polis). Selesai sesi temuduga, pihak insurans akan menyediakan surat tawaran (jika tuntutan lulus) atau surat pemberitahuan (jika tuntutan gagal) dalam masa 4-6 bulan. Sebaik anda menerima surat tawaran, itu bermakna syarikat insurans bersetuju untuk membayar sejumlah wang sebagai ganti rugi. Anda harus lengkapkan surat tawaran itu dengan dokumen-dokumen yang diminta. Antara dokumen yang diminta ialah:
  1. i.      Surat persetujuan tawaran (dilampirkan bersama surat tawaran)
  2. ii.    Borang JPJ TM-AB (pengesahan kad pengenalan; dicop sumpah oleh pegawai JPJ)
  3. iii.   Borang JPJ K3 (2 keping)
  4. iv.   Borang JPJ K8 (1 keping)
  5. v.    Surat pelepasan oleh syarikat sewa beli (jika sudah habis pinjaman)
  6. vi.   Kunci kenderaan (surat pemberitahuan jika kehilangan kunci)
  7. vii.  Kad Pendaftaran Kenderaan Asal
**Borang-borang JPJ boleh didapati di mana-mana cawangan JPJ seluruh negara
            Selesainya proses tuntutan insurans adalah apabila anda menerima bayaran daripada pihak insurans. Jika kenderaan anda masih di bawah perjanjian pinjaman, anda harus merujuk kepada syarikat pinjaman untuk sebarang maklumat lanjut.
2- TUNTUTAN KEMALANGAN PERSENDIRIAN
            Kes-kes kematian akibat kemalangan jalan raya amat tinggi jika dilihat pada statistik. Apa yang harus dibuat jika anda menghadapi masalah ini? Tidak dinafikan tuntutan insurans untuk kes kematian akibat kemalangan juga tidak kurang banyaknya jika dibandingkan dengan kes kehilangan. Tuntutan untuk kes kematian lebih rumit berbanding kes kehilangan jadi disini saya terangkan serba sedikit bagaimana dan apa yang harus dibuat jika menghadapi situasi ini.
            Seperti juga kes kehilangan, kes kematian juga perlu untuk dilaporkan pada pihak polis. Proses tuntutan insurans juga lebih kurang sama seperti kes kehilangan tetapi dokumen-dokumen yang diperlukan lebih banyak. Diantara dokumen-dokumen yang diperlukan selain dari dokumen untuk tuntutan kehilangan adalah :
  1. Sijil Kematian
  2. Permit Penguburan
  3. Laporan Bedah Siasat (jika tidak dibedah,harus kemukakan surat pengesahan dari doktor yang berkenaan)
  4. Salinan I/C dan Lesen si mati
Disini saya ingin nyatakan sekali antara sebab-sebab tuntutan anda ditolak oleh pihak insurans:
  1. Tiada lesen memandu / lesen tamat tempoh
  2. Cukai jalan / insurans tamat tempoh
  3. Kelewatan membuat tuntutan (tempoh untuk membuat tuntutan adalah 14 hari dari tarikh kejadian)
            Apa anda perlu buat jika tuntutan anda ditolak? Bagi sebab (i dan iii), masih diberi kelonggaran oleh pihak insurans tetapi untuk sebab (ii), tiada kompromi.
Cara-cara untuk mendapatkan semula tuntutan yang ditolak,anda hanya perlu membuat rayuan kepada pihak insurans dengan menulis surat rasmi menyatakan sebab sahaja. Jika masih ditolak, anda masih mempunyai peluang dengan berjumpa Biro Perantara Kewangan (Financial Mediation Bureau,FMB). Badan ini akan menjadi perunding bagi pihak anda dengan pihak insurans. Apabila membuat rayuan, proses akan bermula dari awal semula iaitu dari penyiasatan oleh pihak insurans.
            Bagaimana untuk mempercepatkan proses tuntutan adalah sebaiknya jika anda berurusan secara terus dengan pihak insurans (HQ) atau cawangan. Dengan cara ini, proses tuntutan akan terus diproses berbanding jika anda membuat tuntutan melalui kedai motorsikal atau ejen insurans. Anda boleh meminta balai polis tempat anda buat laporan untuk menyediakan surat tutup kes dan bawa surat itu kepada pihak insurans. Ini akan mempercepatkan proses tuntutan lebih kurang sebulan lebih awal memandangkan pihak polis akan tutup kes dan hantar laporan kepada insurans dalam masa lebih kurang sebulan.
            Banyak lagi yang saya ingin ceitakan mengenai tuntutan insurans memandangkan ramai lagi di luar sana yang kurang pengetahuan mengenai prosedur tuntutan insurans. Mengikut pengalaman saya, ramai penuggang motorsikal di luar sana yang tiada lesen memandu dan apabila terjadi kehilangan atau kemalangan, tuntutan mereka ditolak oleh pihak insurans. Amat merugikan jika anda mempunyai motorsikal atau kenderaan lain yang diinsuranskan tetapi ditolak apabila hendak membuat tuntutan. Bagi yang terlibat dengan kemalangan jiwa,lebih merugikan kerana ianya umpama “mati katak” jika tak dapat membuat tuntutan insurans. Jujur saya cakap, banyak tuntutan yang saya terima ditolak oleh pihak insurans kerana sebab tertentu terutamanya tiada lesen memandu dan lewat membuat tuntutan, ini kerana saya tahu mereka itu tidak mendapat pendedahan secukupnya mengenai hal ini.
            Diharap dengan artikel ini dapat membuka minda dan mata para pembaca mengenai isu yang sirius ini. Kadang kala saya kasihan dengan mereka yang tidak dapat membuat tuntutan insurans sedangkan mereka membayar premium insurans setiap tahun dan bagi yang terlibat kemalangan jiwa, lebih kasihan kerana “nasi sudah menjadi bubur“, “sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya“.
Disediakan Oleh: Yamada
Petikan dari: http://malaysian-riders.com/

No comments:

Post a Comment